Karya Dakwah :
ALLAH SEDANG MENDUGA,MAKA BERSABARLAH~
Aneh sekali.Kenapa pada setiap kali dia terpandangkan wajah itu,cepat pula dia ingin memalingkan wajahnya ke arah lain. Takut andai wajah itu mampu melalaikan sekeping hatinya. Tapi aneh pula,disaat dia berusaha memelihara pandangannya, semakin kuat pula dugaannya.Dimana-mana sahaja dia akan menemukan wajah itu.Pada setiap saat dia berbuat apa sahaja,kerap pula wajah itu yang terbayang-bayang di ruang matanya,bagai sengaja pula menghalang fokusnya.
Arghhhh !
Dia stress.
Dia mahu membaca,tetapi yang dia nampak zahirnya bukanlah tulisan,tetapi wajah redup seseorang yang dia dambakan.
Dia makan,tidur,termenung bahkan disaat dia berbicara dengan orang lain pun,yang hadir dalam kepalanya adalah si dia. Gambaran wajah tenang dan bersahaja si dia itu benar-benar mengganggu gugat imannya. Bak kata orang Melayu, makan tak kenyang tidur tak lena mandi tak basah.
Dia bungkam. Bukan ini yang dia inginkan. Bukan kelalaian seperti ini yang sepatutnya menjadi natijah kepada sebuah cinta yang murni . Dia arif tentang itu. Cinta yang sebenar,adalah cinta yang membawa jiwa dekat pada Pencipta segala rasa cinta.
Dia membuat satu kesimpulan,bahawa jika benar ia adalah cinta,maka dia perlu menghumbannya jauh-jauh kerana ia sedar itu bukan cinta yang murni.Dia yakin dia tidak merasakan cinta pada si dia.
Jelas, dia sedang berusaha menafikan perasaannya sendiri. Kalau ia bukan cinta ,lalu perasaan apakah yang sekarang sedang menggigit hujung tangkai hatinya,hingga sukar sekali dirinya untuk mengemudi hati ?
Lalu dia mencoret sesuatu di atas sekeping kertas. Azam dan janji pada dirinya sendiri.
'Yang aku dambakan sekarang adalah cinta Allah. Sudah tentu,untuk menguji sedalam mana cintaku pada Allah, Dia akan datangkan ujian untuk mengukur sejauh mana pembuktian cintaku pada Rabbul Izzati. Cinta memerlukan bukti. Boleh jadi,buktinya adalah pada tahap pengorbanan yang diriku sanggup lakukan'
Berkorban apa ?
Dia tertanya-tanya pula. Sambil menggaru kepala yang tidak gatal,dia meneruskan coretannya.Biarpun warkah itu bisu, tidak mampu meleraikan persoalan hatinya dan membuka ikatan hatinya yang dirasakan sedikit serabut,tetapi dia tahu dengan cara itu,dia mampu mengajar dirinya bertenang dan membuat refleksi diri. Dia menulis. Dia menulis azam dan janjinya pada diri sendiri. Melalui mata pena itu,dia sesungguhnya sedang mengajar dirinya...
'Boleh jadi juga,Allah sedang berbicara denganku tentang cintaNya.Sesuatu yang perlu aku korbankan,adalah perasaanku pada si dia. Dan Allah ingin melihat,sejauh mana kesungguhanku untuk menggapai cintaNya dengan melupakan cinta si dia yang masih belum halal buatku'
Diteruskan coretannya lagi.
'Mungkin saja Allah sedang menguji. Dan disaat akhirnya,setelah lama aku bermujahadah,Allah akan izinkan untuk aku merasai kemanisan cintaNya. Iya, yang perlu aku lakukan sekarang adalah mujahadah. Yang aku perlu korbankan sekarang adalah perasaanku pada si dia ,kerana hakikatnya sekarang dia bukan milikku.. '
Dan dia menamatkan coretannya dengan satu ayat yang terakhir;
'Bersabarlah, Allah sedang menduga sejauh mana cintaku padaNya...'