Monday

karya dakwah~Seindah HidayahMu Allah..

(Nota : Ini adalah rekaan sayasemata-mata, tiada kaitan dgn yang hidup apalagi yang sudah  meniggalkan kita semua..Terima lah karya yang x seberapa ini..)


Langit gelap. Hujan turun renyai-renyai membasahi bumi Uitm Shah Alam. Dari kejauhan, gadis itu berlari-lari anak meredah hujan. Berbekalkan sekaki paying dan buku nota kecil yang sentiasa di bawanya ke mana-mana, dia nekad berjalan kaki seorang diri dari kolejnya menuju ke Pusat Islam Uitm Shah Alam. Walau hujan panas sekalipun, janjinya untuk bertemu dengan seseorang mesti ditunaikan. Hasrat hati yang dipendam sekian lama akhirnya termakbul jua pada hari ini, meski pun dia terpaksa mengharung segala bagai kesusahan di luar jangkaannya. Keinginan yang membarah di dalam hati untuk bertemu dengan senior merangkap sahabat kesayangannya itu memaksanya untuk tidak membatalkan sahaja pertemuan itu, meskipun masing-masing di himpit dengan jadual perkuliahan yang begitu padat.

"Assalamualaikum.." Maisarah menghulur salam perlahan. Jubah biru gelap dan kerudung yang dipakainya jelas kebasahan.

"Waalaikumussalam..Maisarah..Masyaallah..kenapa basah macam ni?" Nur Izzah menyapa lembut. 

Kedua-duanya lantas berpelukan erat. Rindu yang dipendam selama ini untuk bertemu empat mata akhirnya terungkai jua dengan izinNya. Masjid Uitm Shah Alam menjadi saksi pertemuan dua sahabat karib itu. Mereka sama-sama duduk di suatu bangku kosong bersebelahan tangga menuju ke tingkat atas masjid Uitm Shah Alam.

"Mai sihat..?" Nur Izzah bertanya lagi sambil matanya tak lepas daripada memandang wajah lembut Maisarah. 

Dalam hatinya dia tertanya-tanya sebab musabab Maisarah mahu bertemu dengannya pada petang itu juga,walhal gadis itu bakal menduduki satu peperiksaan penting esok hari. Perkara mustahak apakah menurut Mai yang ingin diceritakan padanya?

"Alhamdulillah, Mai sihat sahaja Kak Nur..." Maisarah menjawab perlahan. 

Dia membahasakan Nur Izzah sebagai Kak Nur, memandangkan Nur Izzah itu lebih tua dua tahun daripadanya. Suaranya antara dengar dengan tidak sahaja. Wajahnya lesu,jelas menggambarkan kekusutan yang dialaminya. Pandangannya sengaja dilontarkan ke arah lain, segan pula rasanya mahu menceritakan perkara sebenar kepada Nur Izzah.tetapi kak nur lebih bijak membaca keadaan.

"Mai..akak kenal diri Maisarah yang sebenar. Mai yang akak kenal bukannya Mai yang berada di hadapan akak sekarang. Mai yang akak kenal,orangnya sentiasa ceria. Manis wajahnya menyejukkan mata yang memandang. Tutur katanya lembut, berbisa dan luar biasa.Tapi kenapa hari ini Mai semacam aje…Mai ada masalah yea?"Nur Izzah bersuara lagi. 

Dia cuba mencungkil permasalahan Mai yang sebenarnya. Masakan masalah itu biasa-biasa sahaja,sehinggakan Mai mendesaknya untuk bertemu pada hari itu juga?

Maisarah memandang Nur Izzah.Tenungan matanya dalam, dia bagaikan menemui ketenangan pada wajah yang selalu berwudhu itu. Dipandangya wajah Nur Izzah lama-lama. Mai akhirnya menarik nafas dalam-dalam. Dia sedang mengumpul kekuatan untuk meluahkan segala-galanya. Beban yang dipikulnya selama ini benar-benar meresahkannya. Hujan renyai-renyai yang membasahi bumi bagai turut mengerti keresahan dan kesusahan hati yang dipendamnya seorang diri selama ini. Galau dan resah di hati, hanya Tuhan yang tahu.

"…Mai.. Mai jatuh cinta pada seseorang.. Mai sungguh-sungguh sukakan dia,kak Nur.." Maisarah akhirnya bersuara. Kolam matanya mulai bertakung.

Nur Izzah hanya tersenyum.

"Lalu kenapa Mai perlu menangis? Perasaan itu adalah satu fitrah, adikku sayang…kenapa Mai perlu bersedih hati dengan fitrah yang sememangnya kita tak boleh nafikan? Allah memahami fitrah ini, lalu disyariatkan pernikahan untuk menzahirkan kasih sayang antara dua manusia yang  saling mencintai..kenapa, Mai rasa terbeban dengan perasaan ini,yea?.." Nur Izzah membalas. 

Wajah redup Mai dipandangnya lagi.

Maisarah tidak membalas. Dia tidak menggeleng maupun mengiakan.Tetapi air matanya jatuh menitis satu persatu. Bahunya mula terenjut-enjut menahan tangisan. Dalam esak tangisnya, Mai cuba bersuara.

"tapi..tapi..tapi  Mai dengan dia pernah terlalai,kak Nur. .Mai  dengan dia..pernah bermesej-mesej..." Mai  menangis. Wajahnya sengaja ditundukkan. Malu mula menguasai diri. Saat ini dia terfikir, kenapa selama ini dia tidak malu pada Allah? Bermesej dan  berhubung dengan lelaki bukan mahram tanpa hubungan dan keperluan yang jelas, ke mana pergi malunya tika itu ? Dia akhirnya tertunduk.


"Astaghfirullah.."Istighfar meluncur laju di bibir Nur Izzah. Jelas, dia sama sekali tidak menyukai perbuatan Mai, tetapi  dia tahu dia tidak boleh segera menghukum. Manusia boleh berbuat kesilapan apabila imannya mulai lemah. Tangan Mai dicapainya,lalu dipegang erat.

"Mai..Mai sukakan dia?" Nur Izzah bertanya soalan cepumas.

"Ya. Mai sukakan dia. Suka sangat-sangat" Dalam malu Mai membalas.

"Mai sayangkan dia?"

"Sayang" sepatah Mai membalas.

"Kalau betul sayang, ini bukan jalannya, Mai" Nur Izzah bersuara tegas. Wajah Mai dipandangnya lagi.

"Kalau betul sayang, kita takkan bawak dia pada jalan yang Allah murka, iaitu jalan yang menempah tiket percuma ke neraka. Mai orang yang bijak. Mai lantang memberi tazkirah. Mai tahu menilai halal dan haram. Mai orang yang di tarbiah.Masakan dalam perkara seperti ini Mai masih terbabas? Lemah sangatkah diri Mai hingga tak mampu nak kemudi hati sendiri agar tak terjerumus ke dalam jurang-jurang maksiat macam ni?" Nur Izzah menekan Mai dengan persoalan yang bertubi.


"Maafkan Mai. Mai hanya insane biasa yang tak lari dari kesilapan.." nada Mai mula berubah. Kalau tadi sendunya hanya sedikit, kali ini makin bertambah…

"Jangan meminta maaf pada akak,tapi pintalah maaf dan ampun pada Allah. Kalau terus-terusan membiarkan hati lalai dan tenggelam dalam maksiat, lama-lama hati akan jadi kotor. Kalau hati kotor, ilmu pun susah nak masuk. Natijahnya, pelajaran Mai sendiri yang akan terganggu, sebab fokus Mai dicuri..sanggupkah Mai menggadai masa depan hanya untuk angan-angan cinta yang tak pasti? Apa rasionalnya Mai meletakkan cinta dan sayang Mai pada si dia, tapi hakikatnya Mai membelakangkan Allah dalam segenap tindakan Mai?"Nur Izzah memuntahkan persoalan yang bertubi, sengaja mahu mengajak Mai berfikir dengan lebih mendalam. 

BarangkalI, minda Mai saat ini sudah teracun dengan virus yang di cucuk oleh syaitan iblis laknatullah.

Maisarah menggeleng. Dia menyesal kini. Menyesal yang sungguh-sungguh. Keresahan hati yang ditanggungnya selama ini sememangnya berpunca daripada dosa dan maksiat yang dianggapnya remeh.

"kak Nur, masih adakah peluang untuk Mai kembali kepada Allah?"

Mai bertanya ringkas,kepalanya sudah terlalu sarat dengan pelbagai persoalan. Apa yang pasti, dia hanya ingin kembali menjadi dirinya yang dahulu. Dia tidak mahu lagi membiarkan hatinya mengembara ke daerah asing yang bertuhankan nafsu dan berajakan syaitan semata-mata.


"Mai adikku sayang, taukah Mai betapa luasnya keampunan dan kasih sayang Allah? Luasnya keampunan dan kasih sayang Allah, buktinya terakam dalam surah Ali Imran, ayat 133 :Dan berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan dari Tuhan kalian dan berlumba-lumbalah mencari syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa…"

Nur Izzah menarik nafas panjang, sebelum menyambung lagi.

"Mai, kita ada Allah untuk lebih dicintai. Mengapa perlu biarkan hati kita lebih merindui dan menyintai insan lain melebihi Allah, pencipta segala rasa cinta? Usahlah memurahkan diri sendiri untuk mengejar cinta manusia. Pertingkatkan akhlak islamiyyah. Hiasi diri kita dengan adab-adab islam.  Muliakan diri dengan sifat sabar. Itu yang membuatkan diri kita mahal dan bernilai.." Suara lembut Nur Izzah bagai menyiram kembali kegersangan di dinding hati Maisarah, mengupas satu persatu kekontangan hatinya kini.


Maisarah hanya diam tertunduk. Air matanya dibiarkan saja terus menitis. Dia bagaikan mendapat kekuatan semula. Bait-bait kata yang keluar daripada mulut sahabatnya itu dicernanya satu persatu.

Ah,sayangnya Mai pada  Kak Nur !

Maisarah mendongak, dilihatnya kak Nur masih saja memandangnya.

Tanpa berlengah, Maisarah terus memeluk erat sahabat kesayangannya itu. Mai akan berubah, kak Nur! Ini  janji Mai..terima kasih ya Allah kerana Engkau telah menganugerahiku sahabat sebaik dan sesolehah ini !

Gerimis pada petang itu menyaksikan permulaan perubahan seorang gadis yang bakal menjadi penggerak kepada perjuangan Islam.




















No comments:

Post a Comment